Sorting by

×

95 GENERASI KEDUA FELDA KINI MILIKI TANAH SENDIRI, TERIMA KELULUSAN PTK

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

ASAHAN 5 Disember – Kerajaan Negeri Melaka menyerahkan 95 Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) beserta Notis 5A kepada generasi kedua Felda Tun Ghafar, Bukit Senggeh, hari ini.

Kelulusan berkenaan adalah tanda komited dan keprihatinan kerajaan bagi memastikan rakyat memiliki tanah sendiri dengan proses yang lebih teratur.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sepanjang tahun 2025, kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 147 Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) di Daerah Jasin, diikuti dengan pengeluaran Notis 5A oleh Pentadbir Tanah.

“Ini merupakan satu pencapaian yang jelas menunjukkan kecekapan pentadbiran serta kesungguhan kerajaan negeri dalam menguruskan hal pemilikan tanah untuk rakyat.

“Kerajaan negeri turut menawarkan kadar premium tanah yang jauh lebih rendah daripada pasaran, iaitu antara RM13,000 hingga RM29,000 bergantung kepada keluasan.

“Diskaun khas lima peratus juga diperkenalkan kepada penerima yang membuat bayaran penuh dalam tempoh tiga bulan, dengan syarat tiada permohonan lanjutan atau rayuan pengurangan premium,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan dan Notis 5A bagi Generasi Kedua Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh di Balai Raya, Felda Tun Ghafar, Bukit Senggeh, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Pegawai Daerah dan Tanah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Pengarah Wilayah, Felda Wilayah Segamat Hasrul Nizam Hassan; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Penyerahan rasmi hari ini turut menggamit emosi hadirin apabila salah seorang penerima telah menunggu selama 15 tahun untuk mendapatkan kelulusan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

271
Kongsi :
Previous post 500 PELAJAR B40, 500 OKU TERIMA MANFAAT LESEN MOTOSIKAL PERCUMA
Next post GELANGGANG SUKAN JADI MEDIUM PERKUKUH PERPADUAN