Sorting by

×

BAJET NEGERI MELAKA 2026: MPAG KOMITED LAKSANA PROJEK BERIMPAK UNTUK RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

SERI NEGERI 6 Disember – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menyambut baik pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026 yang disifatkan menyeluruh termasuk memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan rakyat dan pemerkasaan pelancongan di luar bandar.

Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, pihaknya komited untuk bersama Kerajaan Negeri dalam melaksanakan projek berimpak yang mampu meningkatkan sosioekonomi penduduk serta menyokong pembangunan di sekitar Alor Gajah.

Menurut beliau, antara tumpuan utama pihaknya adalah pembangunan kawasan perniagaan yang lebih strategik bagi membuka lebih peluang pendapatan kepada penduduk tempatan.

“Selain itu, kemudahan pelancongan turut menjadi keutamaan ke arah menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.

“Di kawasan MPAG, kita telah mendapat peruntukan RM7.8 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membangunkan fasa kedua ekopelancongan Paya Lebar yang dijangka siap menjelang 2028,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, semalam.

Dalam pada itu, TPr. Saifuddin turut memaklumkan, MPAG bakal melaksanakan inisiatif pemasangan papan tanda dan lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) di kawasan pentadbirannya.

“Beberapa kawasan masih dalam proses untuk dipasang lampu dan papan tanda LED ini, bagaimanapun kita akan perincikan dan menyiapkannya dalam masa terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

378
Kongsi :
Previous post JEJANTAS TUN TEJA SAKSI WANITA MARTABAT SUKAN TRADISIONAL
Next post BAJET NEGERI MELAKA 2026: DANA PELANCONGAN REMAJA DIPERKENALKAN