
BAJET NEGERI MELAKA 2026: DANA PELANCONGAN REMAJA DIPERKENALKAN
TELOK MAS 6 Disember – Dalam usaha memperluaskan lagi sektor pelancongan, Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif Dana Pelancongan Remaja yang akan bermula pada tahun depan.
Inisiatif membabitkan peruntukan RM500,000 untuk 200 remaja itu dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026 yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ sempena Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, semalam.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman menyambut baik pengumuman dana tersebut yang disifatkan berupaya memacu pertumbuhan sektor pelancongan menerusi penglibatan orang muda.
Beliau menjelaskan, Dana Pelancongan Remaja merupakan satu inisiatif berbentuk peruntukan peralatan dan wang tunai, khusus untuk anak muda yang mahu menceburkan diri dalam sektor pelancongan.
“Mengambil contoh jika ada remaja ini yang memiliki sebuah rumah dan ingin menjadikan inap desa. Untuk permulaan mereka mungkin memerlukan modal untuk membeli keperluan seperti katil, tilam, kipas angin dan lain-lain.
“Jadi mereka boleh memohon dana ini pada tahun hadapan, di mana ini merupakan satu bentuk sokongan dan galakan daripada Kerajaan Negeri untuk membantu orang muda terlibat dalam sektor pelancongan.
“Selain itu, banyak lagi inisiatif lain disediakan termasuklah kursus-kursus pendek untuk mereka tahu dan mendalami sektor pelancongan yang menjadi antara sumber ekonomi utama Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Persiapan Pesekolahan ‘Jom Ke Sekolah’ Kepada Anak-Anak Asnaf Fakir, Miskin Dan Mualaf Bagi Sesi Persekolahan Tahun 2026 Parlimen Kota Melaka Bagi Tahun 2025M/1447H anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Dewan Komuniti Telok Mas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Adun Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad; Pegawai Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Abdul Razak yang juga Adun Telok Mas menyifatkan Bajet Negeri Melaka 2026 sebagai bajet untuk rakyat memandangkan 204 inisiatif yang diumumkan terbukti meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
“Sebab itulah bajet kali ini berteraskan Melaka Sayang Rakyat kerana inisiatif dan insentif yang disediakan khas untuk rakyat segenap lapisan masyarakat di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


