
BAJET NEGERI MELAKA 2026 RINGANKAN BEBAN PENIAGA
SERI NEGERI 6 Disember – Pengumuman insentif sewaan premis percuma selama sebulan kepada penyewa premis milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi Kerajaan Negeri dalam Bajet Melaka 2026 menerima reaksi positif dalam kalangan peniaga.
Pengerusi Persatuan Peniaga Melayu Medan Samudera Mohammad Rujahan Sidik berkata, pengumuman itu memberi kelegaan besar kepada peniaga terutama dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar ketika ini.
“Saya sudah lebih 30 tahun berniaga kraftangan, bermula di tepi laut sebelum berpindah ke Medan Samudera, Banda Hilir dan alhamdulillah dengan insentif sewaan percuma ini ia sangat membantu meringankan beban kami golongan peniaga.
“Insya-Allah kita akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memperbaiki kelemahan dan meningkatkan ekonomi penjaja serta peniaga kecil di kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Usahawan Melayu Selandar Mohd Khairil Ibrahim turut menzahirkan rasa terharu di atas keprihatinan Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri terhadap nasib peniaga.
“Saya berniaga percetakan baju dan menyewa premis di bawah Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
“Insentif pengecualian sewa sebulan ini sangat membantu golongan peniaga dan diharap ia dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Kedua-dua mereka turut menyatakan rasa berbesar hati apabila buat julung kalinya golongan peniaga dijemput Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh hadir ke pembentangan bajet negeri yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


