
MAIM HADIAHKAN MOTOSIKAL RINGANKAN BEBAN SUAMI ISTERI DAN 7 ANAK
TELOK MAS 6 Disember – Hanya rasa syukur dapat dipanjatkan seorang ibu kepada tujuh anak apabila dihadiahkan sebuah motosikal oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi meringankan beban yang ditanggung.
Fatimah Fuad Ebnu Ali, 30, menerima sumbangan sebuah motosikal berharga kira-kira RM5,000 pada Majlis Penyerahan Bantuan Persiapan Pesekolahan ‘Jom Ke Sekolah’ Kepada Anak-Anak Asnaf Fakir, Miskin Dan Mualaf Bagi Sesi Persekolahan Tahun 2026 Parlimen Kota Melaka Bagi Tahun 2025M/1447H yang disampaikan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di Dewan Komuniti Telok Mas, di sini, hari ini.
Wanita yang berasal dari Kampung Padang Temu itu berkata, sebelum ini suaminya hanya bergantung kepada sebuah motosikal untuk ke tempat kerja, namun dia diuji apabila terbabit dengan kemalangan menyebabkan motosikalnya rosak.
Menurutnya, dugaan itu menyebabkan suaminya yang bekerja sebagai tukang paip terpaksa meminjam kenderaan rakan sekerja bagi membolehkan pergi dan balik kerja untuk menyara keluarga.
“Kami memang tiada kereta, mahupun kenderaan lain. Jadi apabila dimaklumkan menerima sumbangan motosikal ini kami amat terharu dan bersyukur.
“Terima kasih Kerajaan Negeri dan MAIM kerana memberi sumbangan yang tidak disangka seperti ini untuk meringankan beban kami sekeluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sumbangan motosikal yang diterima Fatimah itu merupakan inisiatif di bawah Bantuan Pengangkutan MAIM iaitu salah satu daripada 57 skim bantuan untuk asnaf yang diperuntukkan kepada seorang penerima bagi setiap Parlimen.
Bantuan itu diberikan kepada asnaf yang betul-betul memerlukan kenderaan bagi tujuan kegunaan harian seperti berulang-alik kerja, menghantar anak sekolah dan sebagainya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


