
BAJET NEGERI MELAKA 2026: PERZIM PERHEBAT MUZIUM, ARKEOPELANCONGAN
AYER KEROH 7 Disember – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menyambut baik Bajet Negeri Melaka 2026 yang memberi tumpuan kepada pemeliharaan warisan, pembangunan produk pelancongan bersejarah dan pengukuhan tapak warisan dunia Melaka.
Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, bajet itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa sektor warisan serta pelancongan budaya.
“Ia selaras dengan peranan PERZIM sebagai agensi utama memelihara dan mendokumentasikan sejarah negeri.
“Sokongan melalui bajet itu termasuk penambahbaikan infrastruktur muzium, pembangunan pameran baharu dan pelaksanaan Skim MeSRa Pelancongan seperti inisiatif tiket percuma sempena 11 sambutan Hari Badan Beruniform yang dijangka dapat menggalakkan lebih ramai pelawat ke muzium.
“Langkah itu membolehkan PERZIM meningkatkan pengalaman pelawat, memperkukuh pendidikan sejarah dan memanfaatkan potensi ekonomi komuniti setempat, sekali gus mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai destinasi warisan utama negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Erne berkata PERZIM akan memberi komitmen dalam pembangunan produk berasaskan sejarah dan arkeologi termasuk Arkeopelancongan di tapak warisan dunia Melaka yang menampilkan penemuan penting seperti jong Melaka, syiling purba dan porselin selain pembukaan Galeri Digital Melaka yang mempersembahkan sejarah secara moden dan interaktif.
“Kita juga menyokong kesinambungan kajian sejarah mengenai Hang Tuah, Enrique de Malaca dan sejarah maritim Melaka bagi memperkukuh PERZIM sebagai pusat rujukan sejarah yang sahih serta berautoriti.
“Melalui Melaka World Heritage Sdn. Bhd. (MWHSB), PERZIM turut memberi tumpuan kepada pengurusan tapak warisan dunia UNESCO dan menyokong pelaksanaan ‘World Heritage Conservation Fee’.
“Kesemua ini bagi membantu pemuliharaan kawasan warisan, menaik taraf Zon Teras Warisan serta memperkukuh pembangunan Arkeotourism,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


