
WRUR: MELAKA HARAP SPRM PERLUAS PERANAN ANTI RASUAH
BUKIT KATIL 7 Disember – Kerajaan Negeri berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat perluaskan peranan untuk menyemai kesedaran mengenai bahaya gejala rasuah di peringkat akar umbi menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha bersama SPRM itu akan menjadikan WRUR sebagai platform untuk perkukuh jaringan kerjasama komuniti di setiap pelusuk kampung di Melaka.
“Saya telah memohon kepada SPRM agar dapat memanjangkan lagi pendedahan berhubung integriti dan pencegahan rasuah di peringkat komuniti dan kampung melalui Program WRUR,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Fun Walk Bertemakan ‘Melangkah Laju, Integriti Padu’ sempena Sambutan Hari Integriti dan Hari Anti Rasuah Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2025 bersama Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil) merangkap Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.
Terdahulu, lebih 1,500 peserta menyertai acara larian yang bermula seawal jam 7.30 pagi.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata program berkenaan adalah manifestasi komitment Kerajaan Negeri untuk memupuk dan mengangkat integriti sebagai budaya hidup rakyat Melaka.
“Sekiranya semangat integriti terus subur, Melaka akan muncul sebagai negeri contoh dan perintis kepada budaya kerja cemerlang dan menjunjung nilai-nilai integriti,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


