Sorting by

×

WRUR BUKIT KATIL PENANDA ARAS ‘DEMI RAKYAT UNTUK RAKYAT’

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BUKIT KATIL 7 Disember – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil menjadi penanda aras kepada perkhidmatan Kerajaan Negeri yang benar-benar berpaksikan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu dapat direalisasikan dengan berbekalkan kesepaduan jentera pentadbiran negeri, agensi pelaksana serta kepimpinan masyarakat.

Katanya, diharapkan setiap isu yang dibangkitkan sepanjang tempoh dua minggu bermula 7 hingga 20 Disember di DUN Bukit Katil, bukan sekadar direkod tetapi diteliti, diambil tindakan susulan dan diselesaikan mengikut keutamaan.

“Saya yakin WRUR Bukit Katil akan jadi penanda aras, berpaksikan rakyat selaras dengan tekad Kerajaan Negeri ‘Demi Rakyat Untuk Rakyat’.

“WRUR DUN Bukit Katil yang digerakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Adly Zahari merupakan siri ke-10 WRUR dan yang terakhir bagi tahun 2025.

“Saya mengajak seluruh warga DUN Bukit Katil memanfaatkan peluang dan ruang sebaik mungkin, sampaikan aduan, cadangan dan pandangan anda terus kepada wakil-wakil rakyat yang hadir pada WRUR ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Program Fun Walk Bertemakan ‘Melangkah Laju, Integriti Padu’ sempena Sambutan Hari Integriti dan Hari Anti Rasuah Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2025 bersama Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil) merangkap Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut memaklumkan sepanjang program WRUR berlangsung Kerajaan Negeri telah menerima sebanyak 1,993 aduan.

“Alhamdulillah daripada jumlah tersebut sebanyak 73 peratus aduan telah berjaya diselesaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

860
Kongsi :
Previous post WRUR: MELAKA HARAP SPRM PERLUAS PERANAN ANTI RASUAH
Next post MBMB TELITI BANTUAN TAMBAHAN MANGSA INSIDEN POKOK TUMBANG