
MICTH FOKUS INFRASTRUKTUR DIGITAL, INISIATIF AI
BANDA HILIR 12 Disember – Melaka ICT Holdings (MICTH) memfokuskan pembangunan infrastruktur digital dan pelaksanaan inisiatif berasaskan kecerdasan buatan (AI) sebagai tumpuan utama tahun hadapan dalam usaha memperkukuh agenda transformasi teknologi negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif MICTH Dr. Nazdiana Ab Wahab berkata, selain itu juga pihaknya akan mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha memperluaskan kesalinghubungan digital infrastruktur.
“Pada tahun hadapan insya-Allah MICTH akan memperluaskan ‘connectivity’ kerana kita mahu lakukan persediaan ke arah ‘smart city’.
“Selain itu juga fokus untuk tahun hadapan adalah peluasan infrastruktur digital dan pelaksanaan inisiatif AI seperti yang akan dilancarkan iaitu aplikasi pelancongan pintar Smart AI Tourism pada hujung tahun ini.
“MICTH komited untuk memastikan inisiatif ini bukan sahaja akan melengkapkan infrastruktur sedia ada tetapi juga memberi nilai tambah kepada rakyat melalui perkhidmatan yang lebih cekap, moden dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam ‘The Corporate Gala Night 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sebuah hotel, di Banda Hilir, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta Ketua Agensi dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri.

Pada majlis itu, MICTH diumum sebagai penerima Business Excellence Award selain turut menerima dua lagi anugerah iaitu Top Performers Award dan Top Contributors Award.
Dr. Nazdiana berkata, anugerah tersebut merupakan satu penghargaan besar di atas usaha berterusan warga kerja MICTH.
“Anugerah diterima ini bukan sahaja pembakar semangat kepada seluruh warga kerja malah memberi motivasi untuk terus bekerjasama lebih rapat sebagai satu pasukan untuk memajukan bukan sahaja MICTH, malah Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


