
KEMPEN INTERNET SELAMAT 2.0 FOKUS DIDIK IBU BAPA KESELAMATAN DIGITAL
AYER KEROH 12 Disember – Kerajaan komited meneruskan Kempen Keselamatan Internet (KIS) 2.0 pada tahun hadapan dengan memfokuskan pendidikan literasi keselamatan digital kepada ibu bapa.
Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran berkata, ia sekali gus memperkasakan pengetahuan orang ramai mengenai keselamatan dalam talian serta melindungi diri daripada ancaman siber.
“Usaha ini penting memandangkan melalui internet, maklumat dapat diakses tanpa batasan, memperkukuhkan ekonomi digital dan memperluaskan jaringan komunikasi masyarakat.
“Bagaimanapun di sebalik manfaat ini, kita berhadapan dengan cabaran keselamatan internet seperti buli siber, penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu, perjudian digital dan paling membimbangkan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak yang semakin berleluasa.
“Justeru itu, KIS amat bertepatan dan perlu diperluas bagi meningkatkan kesedaran bukan sahaja dalam kalangan murid sekolah tetapi ibu bapa, pendidik dan penyedia platform tentang kepentingan mengamalkan etika dan keselamatan dalam penggunaan internet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada Kempen Internet Selamat (KIS) Wilayah Selatan Tahun 2025 di Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.
Menurutnya, hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga menunjukkan data diperoleh bukan sekadar statistik tetapi amaran bahawa ruang digital telah disalah guna untuk perkara yang memudaratkan.
“Rekod PDRM menunjukkan lebih 47,000 kes jenayah penipuan dalam talian direkodkan setakat September lalu dengan anggaran jumlah kerugian melebihi RM1.9 bilion.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan melebihi 12,000 kes berbanding 35,368 kes yang direkodkan pada 2024 yang melibatkan anggaran kerugian RM1.5 bilion.
“Manakala lebih 880,000 fail digital jenayah seksual ditemui termasuklah bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan juga pornografi dewasa dengan tangkapan 31 individu dalam Ops Pedo 2.0 pada Oktober lalu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata KIS telah dilaksanakan di 1,478 institusi pendidikan di seluruh wilayah selatan merangkumi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan setakat November lalu dengan melibatkan penyertaan kira-kira 26,617 pelajar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


