Sorting by

×

MELAKA MEMBACA LAHIR GENERASI MASA DEPAN BERILMU

Masa Membaca:2 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 16 Disember – Penganjuran Anugerah Melaka Membaca menjadi antara manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam melahirkan generasi masa hadapan yang berilmu, berkeyakinan, berdaya saing dan mampu berfikir secara kritis.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, anugerah itu diperkenalkan bagi memartabat budaya membaca sebagai agenda penting dalam pembangunan modal insan menerusi pelbagai dasar, program dan inisiatif.

Jelas beliau, sejumlah RM200,000 diperuntukkan bagi penganjuran anugerah berkenaan yang merangkumi tiga kluster utama melibatkan 15 kategori merentas pelbagai peringkat dan latar belakang.

“Anugerah Melaka Membaca dilaksanakan sebagai wadah pengiktirafan kepada usaha, komitmen dan kecemerlangan dalam menyemai budaya membaca.

“Pendekatan penganugerahan ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam mengangkat budaya membaca, di mana ia merangkumi peranan institusi, komuniti, serta ekosistem sokongan ilmu, yang bersama-sama menjadi nadi kepada masyarakat berpengetahuan dan berilmu.

“Hasrat kita di Melaka jelas..kita mahu melahirkan generasi masa hadapan yang berilmu, berkeyakinan, berdaya saing serta mampu berfikir secara kritis dalam mendepani cabaran dunia yang semakin kompleks,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Melaka Membaca 2025 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris.

Menurut Ketua Menteri, berdasarkan statistik, kadar minat membaca rakyat Melaka mencapai angka 88.9 peratus, sekali gus mengatasi kadar peratusan di peringkat nasional iaitu 88.6 peratus.

Jelas beliau, ia secara tidak langsung mencerminkan bahawa budaya ilmu semakin subur dan menjadi nadi dalam kehidupan masyarakat.

“Untuk itu, saya merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada PERPUSTAM, selaku penggerak utama dalam membudayakan amalan membaca di negeri ini menerusi fasiliti perpustakaan yang lengkap, selain menyediakan ruang membaca, hab ilmu, pusat inovasi dan medan perkongsian idea yang inklusif.

“Saya percaya, dengan semangat dan iltizam bersama, insya-Allah dari bumi Melaka akan lahir generasi pencinta ilmu, barisan pemikir serta pemimpin masa hadapan yang menjadikan membaca sebagai budaya hidup serta menyumbang secara positif kepada kemajuan negeri, negara dan peradaban sejagat,” tambah beliau.

SENARAI PEMENANG ANUGERAH MELAKA MEMBACA 2025

*Pertandingan Ikon Pembaca Melaka*

1. Kategori kanak-kanak
Aira Marlya Shamsul Ariff

2. Kategori Belia
Amsyar Hazim Mohd Redzuan

3. Kategori Dewasa
Datuk Wira Ahmad Ruslie Joharie

4. Kategori Penjawat Awam
Datin Nor Azzah Momin

5. Kategori OKU
Mohd Sukur Ibrahim

*Pertandingan Pembaca Terbaik*

1. Kategori kanak-kanak
Nur Aina Humaira Muhamad Harun

2. Kategori Belia
Dzakierin Rayyan Aris

3. Kategori Dewasa
Mohd Hafizuddin Mohamad Ghazali

4. Kategori Warga Emas/Pesara
Rosnah Noori

5. Kategori OKU
Nur ‘Aina Madihah Umar

*Pertandingan Gerbang Maklumat Ilmu*

1. Kategori Rumah Ibadah
Masjid Nurul Hidayah, Batu Berendam

2. Kategori IPT
UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah

3. Kategori Pejabat Kerajaan
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

4. Kategori Sekolah
SMKA Sultan Muhammad

5. Kategori Rumah
Kunjee Krishnan A/L Kuppusamy

*Anugerah Khas Juri*

1. Kategori Rumah
Nur Hafizah Karim
Monarefita Mohamed

2. Kategori Sekolah
SK Tun Syed Ahmad Shahabudin
SK Bertam Ulu

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post MPAG TAWAR DISKAUN, GALAK ORANG RAMAI JELASKAN KOMPAUN TERTUNGGAK
Next post MELAKA LANCAR PROGRAM TUNAS ZAID IBN THABIT, LAHIR GENERASI CELIK AL-QURAN