Sorting by

×

3,000 PELAJAR MELAKA KERAP PONTENG BERISIKO DITARIK KELAYAKAN TERIMA BANTUAN

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

PENGKALAN BATU 16 Disember – Kerajaan Negeri Melaka bercadang untuk menarik semula bantuan persekolahan kepada 3,000 orang pelajar Melaka yang didapati kerap ponteng sekolah, sebagai langkah tegas untuk menangani gejala berkenaan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, langkah itu akan digunapakai kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Beliau menegaskan, isu ponteng bukan sahaja berlaku di Melaka, tetapi juga di negeri-negeri lain, dan ia berpunca daripada pelbagai faktor termasuk sikap malas, kurang pengawasan ibu bapa, keinginan mencari wang serta masalah kesihatan yang tidak dilaporkan.

“Maka, dalam Konvensyen Khas Pendidikan Negeri Melaka baru-baru ini, kita telah mengangkat dua resolusi ini, yang pertama, pelajar akan dikenakan tindakan peraturan dan undang-undang.

“Kedua, pelajar akan kehilangan kelayakan untuk menerima apa-apa bantuan daripada kerajaan. Ini termasuk bantuan awal persekolahan, bantuan belajar, derma belajar dan sebagainya.

“Langkah ini supaya mereka menyedari betapa pentingnya untuk hadir ke sekolah dan tidak sesuka hati ponteng sekolah demi masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Tadika JAIM Kali Ke-28 bagi sesi persekolahan 2025/2026 di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, hari ini.

Menurut Rahmad, tindakan tegas itu diusulkan ekoran gejala ponteng yang berlarutan sehingga sebulan atau dua bulan boleh menyebabkan pelajar tercicir dan ketinggalan dalam pendidikan.

“Ini merupakan satu gejala yang tidak baik dan perlu ditangani segera,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2043
Kongsi :
Previous post MELAKA LANCAR PROGRAM TUNAS ZAID IBN THABIT, LAHIR GENERASI CELIK AL-QURAN
Next post DR. MASSILA DINOBAT TOKOH KEPIMPINAN AI UNGGUL BERTARAF DUNIA