Sorting by

×

MASJID TANAH BUKAN CALANG-CALANG – AB RAUF

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

LENDU 20 Disember – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyifatkan Masjid Tanah sebagai bumi yang luar biasa kerana melahirkan ramai pejuang dan ilmuan.

Sesuai dengan penganjuran Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita, beliau membawa pulang permata-permata Masjid Tanah bagi berkongsi ‘luka dan peluh’ sebalik kejayaan masing-masing menerusi Program Remaja Transformasi Parlimen (RENTAP) dan Bicara Tokoh, 1 Jiwa, 1 Impian.

Antara yang dijemput adalah Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd, Datuk Sr. Azmar Talib juga tokoh korporat dan pembangunan hartanah negara telah berkhidmat lebih empat dekad, Ketua Pengarah Penyiaran, Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dr. Ismanizam Ismail.

Turut dibawa ke Masjid Tanah adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif  Pelakon dan Produser Datuk Rosyam Noor serta pelakon popular, Datuk Remy Ishak.

“Mereka bukan orang luar. Mereka ini orang kita! Pernah mandi sungai yang sama, pernah lari di padang yang sama, pernah makan di kedai yang sama dengan tuan-tuan tanpa tuan sedari atau sangka-sangka.

“Matlamat Program RENTAP dan Bicara Tokoh ini hadir dengan satu hasrat besar, iaitu untuk membina
jati diri, memperkasa ilmu pengetahuan, serta membentuk akhlak dan pemikiran seimbang, supaya
warga Masjid Tanah kekal berakar kepada nilai serta identiti kampung halaman.

“Lebih utama, program ini adalah tentang inspirasi dan legasi, bagaimana anak Kampung mampu menggoncang dunia dan apa kita tinggalkan untuk generasi selepas ini,” katanya ketika berucap merasmikan Program RENTAP dan Bicara Tokoh, 1 Jiwa, 1 Impian bersempena Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita di Taman Rekreasi Bukit Beringin, malam tadi.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Adun Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Adun Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Ab Rauf berkata, selain tokoh disebut ramai lagi anak watan Masjid Tanah yang sebenarnya telah mengukir kejayaan sehingga menaikkan imej negeri dan negara.

“Mereka yang saya sebutkan adalah bukti hidup kejayaan dan ketekunan orang Masjid Tanah. Hakikatnya jelas, parlimen kita tidak pernah kekurangan bakat dan potensi, selain sentiasa melahirkan insan-insan hebat serta bijak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

462
Kongsi :
Previous post MAIM JELAJAH 28 DUN SALUR BANTUAN PERSEDIAAN RAMADAN 2026
Next post UNIMEL DIGITALKAN MANUSKRIP BERKAITAN HANG TUAH