
TAN SRI ABU SEMAN TERSENTUH DIHARGAI KETUA MENTERI
LENDU 22 Disember – Bekas Ahli Parlimen Masjid Tanah Tan Sri Abu Seman Yusop terharu dan tersentuh apabila jasanya masih dihargai Kerajaan Negeri sehingga diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Khas Masjid Tanah.
Penganugerahan itu diberikan bersempena Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita yang diadakan di Taman Rekreasi Bukit Beringin, di sini, semalam, sebagai simbol legasi kepimpinan, pendidikan dan pembangunan berkekalan.
Menurut beliau, walaupun telah lama meninggalkan legasi dalam politik, namun beliau memuji pendekatan Kerajaan Negeri pada hari ini yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana bukan sahaja berusaha memajukan negeri, bahkan turut tidak melupakan tokoh yang banyak menabur jasa.
“Apabila dimaklumkan akan menerima anugerah, saya rasa sangat ‘touching’ (tersentuh) dan terharu. Terima kasih kepada Ketua Menteri kerana menzahirkan penghargaan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah itu yang disampaikan sendiri oleh Ab Rauf.
Abu Seman bukanlah nama asing dalam arena politik negara kerana beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Masjid Tanah yang berkhidmat dari tahun 2004 hingga 2013.
Sepanjang tempoh itu, beliau telah banyak mengubah pembangunan Masjid Tanah secara menyeluruh serta memperkukuh kepimpinan di peringkat akar umbi sebagai Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah dari 1998 hingga 2013.
Antara sumbangan terbesar beliau adalah menjadikan Masjid Tanah sebagai hab pendidikan terbilang dengan terbinanya beberapa institusi seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Sains Sungai Udang, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Institut Unggas, Kolej Kemahiran Tinggi MARA serta pelbagai lagi institusi pengajian tinggi dalam Parlimen Masjid Tanah.
Selain Abu Seman, turut menerima anugerah tokoh pada karnival itu adalah Pengarah Hospital Pakar SALAM Datuk Ir Zainal Bachik (Tokoh Keusahawanan); Prof. Ts. Dr. Zaidi Embong (Tokoh OKU);Â Mohd Asri Ninggal (Tokoh Belia dan Sukan); Datuk Mohd Nizam Yahya (Tokoh Agama dan Kemasyarakatan) serta Anugerah Tokoh Akademik dan Profesional yang diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd Datuk Azmar Talib. m
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


