
HUJUNG TAHUN MELAKA MERIAH DENGAN PELBAGAI ACARA MENARIK
AYER KEROH 22 Disember – Pelbagai acara menarik dijadual berlangsung selama lima hari bermula 27 Disember ini sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 Negeri Melaka dan Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas bertempat di Encore Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengisian pelbagai acara menarik itu juga sebagai pembuka tirai kepada Tahun Melawat Melaka 2.0 tahun depan.
Beliau berkata, istimewanya tahun, Kerajaan Negeri akan berganding bagu dengan Regimen Gerak Khas bersempena Sambutan Jubli Intan pasukan gerak khas itu yang telah bertapak di bumi Melaka sejak 60 tahun lalu.
“Untuk itu Kerajaan Negeri telah pun menyediakan pelbagai program sempena sambutan Ambang Tahun Baharu bermula pada 27 hingga 31 Disember ini antaranya, program keagamaan seperti Melaka Berselawat di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); program seni dan budaya seperti pertunjukan menarik, bunga api serta konsert khas.
“Manakala pengisian-pengisian seterusnya akan diisi oleh Rejimen Gerak Khas, di mana tentera elit ini akan mempamerkan kehebatan mereka di dalam beberapa segmen iaitu darat, udara dan laut termasuk mengadakan demonstrasi peranan mereka dalam memastikan keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung di Malaysia Hari Ini yang turut dihadiri Ketua Staf 21 Gerup Gerak Khas, Brigedier Jeneral Mohd Musyadi Abdul Mutalib.
Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Menurut Ketua Menteri, segala persiapan kini giat dijalankan termasuk latihan-latihan oleh pasukan tentera.
“Di Melaka sekarang ini sibuk dengan acara latihan termasuk penerjunan apabila 60 hingga 70 penerjun dilihat berada di ruang udara membuat latihan.
“Bertempat di Kota Laksamana berhadapan Encore Melaka, orang ramai dijemput untuk hadir bukan sahaja memeriahkan sambutan malah mengambil peluang lebih dekat melihat sendiri peranan tentera elit ini dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


