
MELAKA DESTINASI PELANCONGAN KELUARGA LESTARI 2026
AYER KEROH 22 Disember – Melaka mahu membawa imej destinasi pelancongan keluarga lestari sepanjang 2026 sempena Tahun Melawat Melaka 2.0.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, lebih 220 program pelancongan disediakan Kerajaan Negeri sepanjang tahun hadapan.
Katanya, antara program yang disusun adalah berkonsep riadah dan kekeluargaan dalam menarik kehadiran lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
“Untuk 2026 Kerajaan Negeri menyasarkan jumlah kedatangan pengunjung dan pelancong seramai 19 juta orang akan datang ke Melaka.
“Dalam kehadiran, kedatangan dan kebanjiran orang datang ke Melaka, Kerajaan Negeri telah menyediakan lebih 220 program pelancongan pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung di Malaysia Hari Ini yang turut dihadiri Ketua Staf 21 Gerup Gerak Khas, Brigedier Jeneral Mohd Musyadi Abdul Mutalib.
Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Menurut Ketua Menteri, selain kepelbagaian program pelancongan yang disediakan Kerajaan Negeri, Melaka juga dikenali sebagai lokasi pelancongan ideal untuk seisi keluarga dengan adanya pelbagai pilihan makanan yang menjadi tarikan, tempat menarik dan tempat tinggal yang hebat.
“Melihat dengan pengisian 220 acara ini ia boleh dijadikan takwim untuk keluarga datang ke Melaka.
“Datanglah ke Melaka dengan pelbagai acara pelancongan disediakan, makanannya sedap, tempat menarik dan tempat tinggal pun hebat ia dapat meraikan riadah bersama keluarga.
“Pelbagai acara menarik ini disediakan untuk menarik minat pengunjung dan pelancong untuk datang ke Melaka bermula dengan sambutan Ambang Tahun Baharu pada 31 Disember ini sebagai pembuka tirai kepada acara lebih menarik,” katanya.
Sementara itu Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri juga turut menawarkan beberapa tawaran istimewa khusus untuk pengunjung dan pelancong yang datang ke Melaka seperti kemasukan percuma ke semua tempat pelancongan apabila mengenakan pakaian tradisional setiap hari Sabtu pada awal bulan.
“Masuk percuma juga akan diberikan pada setiap sambutan misalnya Hari Guru, Hari Angkatan Tentera Malaysia dan Hari Anggota Bomba Sedunia khusus untuk mereka yang berkhidmat manakala ahli keluarga pula akan menikmati potongan 50 peratus,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


