Sorting by

×

SAMBUTAN JUBLI INTAN REJIMEN GERAK KHAS BAKAL CIPTA SEJARAH

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 22 Disember – Buat julung kalinya selepas enam dekad penubuhan pasukan komando elit tentera darat, Rejimen Gerak Khas bakal mengadakan Sambutan Jubli Intan mereka di luar kawasan kem tentera.

Ketua Staf 21 Gerup Gerak Khas, Brigedier Jeneral Mohd Musyadi Abdul Mutalib berkata, sambutan itu sekali gus membolehkan orang ramai mengenali lebih dekat pasukan elit itu menerusi pelbagai pengisian dan pertunjukan yang bakal ditampilkan.

“Keistimewaan Sambutan Jubli Intan tahun ini adalah diadakan di luar kem malah sejak penubuhan Rejimen Gerak Khas selama 60 tahun kita tidak pernah mengadakan sambutan di luar, ini pertama kali.

“Seperti semua sedia maklum sekiranya diadakan sambutan di dalam kawasan kem banyak prosedur perlu dilalui termasuk tapisan keselamatan dan sebagainya.

“Berbanding di luar kawasan kem, ia terbuka kepada semua pengunjung selain mereka boleh datang dan bebas berada di kawasan sambutan,” katanya ketika bersiaran secara langsung di Malaysia Hari Ini bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hari ini.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Menurut beliau, kerjasama erat Kerajaan Negeri turut menjadi faktor penting dalam merealisasikan sambutan bersejarah itu, khususnya selepas sokongan daripada Ketua Menteri sendiri.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan Tentera Darat kerana mengizinkan Rejimen Gerak Khas mengadakan sambutan ini di luar kawasan kem.

“Lebih menarik kerjasama diberikan Kerajaan Negeri terutamanya Ketua Menteri telah merealisasikan sambutan ini diadakan di luar kawasan kem.

“Tujuannya adalah supaya hubungan erat antara tentera dan rakyat dapat terjalin,” katanya.

Jelasnya, orang ramai perlu merebut peluang ini untuk hadir dan melihat sendiri demonstrasi kepakaran pasukan elit ini dalam menjaga keselamatan negara.

“Sebelum ini mereka tidak pernah pamerkan latihan atau operasi kepada orang awam kerana semua dibuat di dalam kem jadi ambillah peluang ini untuk menyaksikan sendiri Demonstrasi Kepakaran GGK.

“Selain itu pelbagai lagi acara lain akan berlangsung antaranya Skydive Challenge, Commando Strongmen & Women Challenge, Army Red Warrior dan pelbagai lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post TERLANGGAR KABEL ELEKTRIK, PEMANDU PARAMOTOR HANYA CEDERA RINGAN
Next post 2026, MPHTJ FOKUS PERKHIDMATAN KELAS PERTAMA