
PBT ‘JENTERA’ UTAMA MELAKA SEJAHTERAKAN RAKYAT
BANDA HILIR 23 Disember – Kesemua empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini disifatkan sebagai jentera utama Kerajaan Negeri dalam mensejahterakan rakyat.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, ia sekali gus menyaksikan peranan PBT di negeri ini bukan hanya terhad kepada organisasi pentadbiran yang kejayaannya diukur melalui pencapaian fizikal atau pembangunan infrastruktur semata-mata.
Sebaliknya, ujar beliau, kejayaan itu juga perlu mengambil kira kualiti perkhidmatan, kecekapan pengurusan, tahap kepuasan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Oleh sebab itu, usaha berterusan semua PBT di negeri ini wajar dihargai kerana sentiasa komited mendukung agenda Kerajaan Negeri.
“Ini dapat dilihat dalam aspek peningkatan kualiti perkhidmatan kepada rakyat; pemantapan tadbir urus dan integriti serta pelaksanaan dasar-dasar kerajaan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin pada Majlis Apresiasi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) 2025 di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron.
Menurut Zulkiflee, majlis apresiasi ini merupakan satu pengiktirafan penting kepada individu dan pasukan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dan semangat kerja berpasukan.
“Saya berharap penghargaan ini bukan sekadar menjadi kenangan, tetapi menjadi pencetus motivasi untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab.
“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha semua PBT dalam memperkukuh keupayaan organisasi, membangunkan modal insan dan menerapkan budaya kerja lebih progresif serta berorientasikan hasil.
“Saya yakin, dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan PBT, kita mampu merealisasikan perkhidmatan Bandar dan Perbandaran yang lebih mampan, inklusif serta sejahtera,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


