
SUKAN MELAKA 2025 CIPTA REKOD BAHARU
BANDARAYA MELAKA 23 Disember – Sukan Melaka 2025 mencatat rekod baharu dengan penyertaan lebih 15,600 peserta, jauh mengatasi pencapaian edisi sebelumnya.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, acara sukan itu bukan sekadar pertandingan, tetapi medan untuk membina kekuatan fizikal, ketahanan mental dan semangat para peserta.
Beliau berkata edisi 2025 kali ini lebih banyak acara menarik ditampilkan meliputi sembilan jenis sukan antaranya bola sepak, sepak takraw, badminton serta sukan tradisional seperti Dam Aji dan Konda Kondi.
“Inilah semangat yang kita mahu tanamkan dalam jiwa setiap peserta iaitu semangat juang, disiplin dan cinta terhadap sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Sukan Melaka 2025 Peringkat Negeri Melaka Piala YAB Ketua Menteri Melaka serta Perlawanan Akhir Bola Sepak di Stadium Hang Tuah di sini, malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Ab Rauf turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua atlet, jurulatih, pegawai pasukan serta para penyokong yang menjadi nadi kejayaan penganjuran tersebut.
“Susah tentu usaha ini mampu menyokong agenda pembangunan sukan Melaka ke arah lebih progresif dan inklusif.
“Untuk makluman penganjuran Sukan Melaka 2025 bermula di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 19 Julai 2025, sebelum diteruskan ke peringkat negeri pada 5 September dan melabuhkan tirainya pada 22 Disember 2025,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


