Sorting by

×

JASIN MENUJU DAERAH MESRA PELABUR 2026

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

JASIN 24 Disember – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mahu menjadikan Jasin sebagai sebuah daerah mesra pelabur yang menawarkan persekitaran pelaburan kondusif, berdaya saing dan mampan menjelang 2026.

Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, penekanan diberikan kepada kemudahan urusan melalui proses kelulusan yang cekap, telus dan berintegriti disokong Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi teknikal serta sektor swasta.

Beliau berkata beberapa perancangan strategik telah dilakukan MPJ dalam membangunkan Jasin sebagai daerah mesra pelabur termasuk membangunkan ‘Jasin Command Centre’ bagi pelaksanaan strategi bandar pintar (Smart City).

“Antara usaha MPJ adalah memeterai memorandum Persefahaman (MoU) bersama Parkland Avenue Sdn Bhd bagi meneroka peluang pembangunan mampan, pelaburan dan inisiatif yang memberi manfaat kepada pembangunan sosioekonomi Jasin.

“Sementara itu, projek Placemaking Laman Seni@Jasin Street Art dengan kerjasama PlanMalaysia pula bertujuan memperkukuh identiti bandar, memperindah landskap persekitaran serta merancakkan aktiviti pelancongan dan ekonomi setempat.

“Diikuti cadangan pembangunan infrastruktur dan bandar baharu seperti pembangunan lebih 500 ekar milik Huat Lai Resources berhampiran Bandar Scientex Jasin, pembinaan jalan baharu dari Bandar Jasin Bestari ke Anjung Gapam dan penghubung Bandar Botani Parkland ke Lebuh AMJ di Serkam.

“Selain itu, projek Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (hubungan selatan) yang menghubungkan Banting – Gelang Patah melalui Melaka dengan cadangan dua persimpangan tol di Jasin iaitu di Bemban dan Merlimau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sembang Teh Tarik: Jasin Daerah Mesra Pelabur yang dirasmikan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin di Jasin Golf Club, di sini, semalam.

Menurut Muhammad Zahiruddin, cadangan projek berimpak tinggi itu secara tidak langsung mampu memacu pembangunan Jasin dalam tempoh sepuluh tahun akan datang sebagai daerah progresif, berdaya saing, mampan, dan mesra pelabur.

“Kerjasama MPJ bersama pelabur bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi daerah, malah menyediakan banyak peluang pekerjaan, meningkatkan kemudahan infrastruktur serta memperkukuh daya saing Jasin sebagai kawasan pembangunan yang progresif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

600
Kongsi :
Previous post SASAR 50,000 ORANG MELAKA GUNA APLIKASI MYSAMB
Next post PEMBANGUNAN BERORIENTASIKAN TRANSIT BERI NILAI TAMBAH UNTUK MELAKA