
KOMITMEN MPJ PACU JASIN LEBIH BERDAYA SAING
JASIN 24 Disember – Pendekatan santai melalui konsep ‘Sembang Teh Tarik’ dilihat sebagai medium berkesan bagi merapatkan jurang komunikasi antara Kerajaan Negeri dan komuniti pelabur.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, urusan pembangunan dan pelaburan tidak semestinya dibincangkan dalam suasana formal tetapi boleh dilaksanakan secara berhemah dan terbuka.
Menurutnya, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan kehadiran pelabur yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada keuntungan, malah turut menitikberatkan pembangunan terancang, kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
“Daerah Jasin mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai kawasan pelaburan berdaya saing kerana kedudukan yang strategik serta komitmen Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dalam memudah cara urusan pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sembang Teh Tarik: Jasin Daerah Mesra Pelabur yang turut dihadiri Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari di Jasin Golf Club, di sini, semalam.
Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong inisiatif Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memperkemaskan proses kelulusan, meningkatkan ketelusan serta memperkukuh tadbir urus bagi memastikan keyakinan pelabur sentiasa terpelihara.
“Dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri, PBT, pemaju, pelabur dan masyarakat, Jasin mampu muncul sebagai model daerah mesra pelabur yang inklusif, mampan serta berdaya huni untuk jangka panjang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


