Sorting by

×

GENG LOGAN AKTIF PECAH RUMAH TUMPAS

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KOTA LAKSAMANA 24 Disember – Polis menahan tiga ahli kumpulan Geng Logan yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah hasil serbuan di dua lokasi berasingan pada 15 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan itu dilakukan hasil risikan dan maklumat dikumpul selama beberapa bulan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Menurutnya, dalam operasi tersebut, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah kedai barang antik di Jalan Munshi, manakala seorang lagi suspek lelaki ditahan dalam serbuan susulan di sebuah rumah di Lorong Mangga, Pokok Mangga.

“Siasatan lanjut mendapati dua suspek lelaki ditahan merupakan adik-beradik berusia 29 dan 33 tahun manakala suspek wanita berusia 24 tahun dipercayai teman wanita kepada salah seorang daripada mereka,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Christopher berkata, dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah antaranya plat emas; wang syiling lama pelbagai mata wang; telefon bimbit pelbagai model; sebuah komputer riba; iPad; jam tangan pelbagai jenama; sarung tangan; sarung kepala; pemotong besi; playar; lampu suluh serta sebilah pisau.

“Hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai 20 rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah dan dadah,” katanya.

Tambah beliau, hasil soal siasat lanjut mendapati kesemua suspek dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah Melaka Tengah.

“Kesemua suspek kini direman sehingga 29 Disember ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2065
Kongsi :
Previous post LAPAN MASJID DI DUN ASAHAN MILIKI VAN JENAZAH
Next post PPSPM HAMPIRI SASARAN SATU JUTA PENGUNJUNG