
1.3 JUTA KENDERAAN DIJANGKA MASUK MELAKA SEMPENA CUTI SEKOLAH DAN KRISMAS
AYER KEROH 24 Disember – Sebanyak 1.3 juta kenderaan dijangka memasuki negeri ini sempena cuti sekolah dan sambutan Hari Krismas, sekali gus meningkatkan aliran trafik di lokasi tumpuan pelancong.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri akan melaksanakan Op Lancar sepanjang tempoh itu bagi memastikan pergerakan kenderaan lebih terkawal.
Katanya, anggaran kemasukan kenderan ke negeri ini adalah melalui Tol Simpang Ampat, Tol Ayer Keroh dan Tol Jasin.
“Op Lancar akan membabitkan penugasan anggota trafik di lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ kesesakan, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan aliran trafik lancar. Kawasan pelancongan dan laluan utama negeri ini antara lokasi hotspot dikenal pasti.
“Antara lokasi hotspot yang dikenal pasti ialah Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput- Ayer Keroh (SPA)–Paya Emas, Jalan Tun Abdul Razak–Ayer Keroh, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah – Jasin (AMJ)–Melaka Sentral, Jalan Umbai–Sungai Udang, Jalan Rembia–Kendong, Jalan Bendahara–Jalan Laksamana, Jalan Masjid Tanah–Bukit Sendayan serta Jalan Alor Gajah–Tampin,” katanya.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri dijangka memuncak pada hujung minggu dan menjelang sambutan Krismas, sekali gus memerlukan kerjasama semua pengguna jalan raya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan anggota bertugas serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.
“Pihak polis turut mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama sepanjang musim cuti ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


