
MPJ BAIK PULIH 35 RUMAH, EMPAT DIBINA BAHARU SEPANJANG 2025
JASIN 25 Disember – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) telah melaksanakan 35 pembaikan rumah dan membina empat kediaman baharu dalam kawasan pentadbirannya bagi tahun 2025.
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, peruntukan bagi PPKB disalurkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kos baik pulih 35 rumah berjumlah RM700,000, manakala kos bina baharu empat rumah adalah RM360,000 menjadikan nilai keseluruhan program adalah RM1,060,000.
“Usaha ini bagi membantu lebih ramai penduduk yang memerlukan dalam kawasan MPJ mendiami rumah yang selamat dan selesa. Justeru itu, untuk 2026 kita telah menghantar permohonan kepada pihak KPKT bagi membaik pulih 56 rumah usang dan enam lagi dicadangkan untuk dibina baharu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, pada 19 Disember (Jumaat), Muhammad Zahiruddin mengadakan lawatan ke rumah Faizah Ab Malek dalam Program Sentuhan Kasih MPJ Prihatin Dihatiku, termasuk sesi penyerahan Program Baik Pulih Rumah Di Bandar KPKT DUN Bemban.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yaakop.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

