Sorting by

×

KOLEJ KOMUNITI JASIN ANGKAT SENI ‘QUILLING ART’

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDA HILIR 27 Disember – Kolej Komuniti Jasin (KKJS) berhasrat menjadi antara institusi pengajian tinggi yang memainkan peranan penting dalam mengangkat seni ‘Quilling Art’ di Negeri Melaka.

Ia menerusi kolaborasi strategik bersama Balai Seni Lukis Negara.

Ketua Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat (KUPSH) KKJS, Ts. Suzarina Suboh berkata, pihaknya berbesar hati untuk berkolaborasi dengan orgnisasi lain bagi mengembangkan seni Quilling Art yang berpotensi diketengahkan sebagai antara elemen pendidikan seni bernilai tinggi di negara ini.

“Kita bukan sahaja bekerjasama dengan Balai Seni Lukis Negara, malah turut mengadakan kolaborasi bersama World Youth Foundation(WYF), Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Jabatan Warisan Negara, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Program Apresiasi Seni Karikatur Sasterawan Negara di Galeri WOW 3D, di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, program itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang turut menzahirkan rasa teruja dan kagum dengan hasil seni kreatif yang dipamerkan sepanjang program tersebut berlangsung.

Turut hadir pada program itu adalah Pengerusi World Youth Foundation, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Setiausaha Agung World Youth Foundation, Melaka Malaysia, Profesor Adjung Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Program Apresiasi Seni Karikatur Sasterawan Negara anjuran Balai Seni Lukis Negara itu menghimpunkan 10 pelukis karikatur terkemuka di Malaysia bagi menghasilkan karya karikatur yang mengangkat dan menghargai Tokoh Sasterawan Negara melalui pendekatan seni visual yang kreatif dan kritis.

Program yang berlangsung pada 20 hingga 31 Disember 2025 menjadi platform terpenting dalam menggabungkan elemen karikatur, sastera serta pendidikan seni kepada masyarakat umum.

Selain itu, program berkenaan turut diserikan dengan pelukis jemputan karikatur dari Indonesia dan Singapura, selain penglibatan pelajar karikatur sebagai usaha untuk pemindahan ilmu dan bakat.

Lebih istimewa, program itu turut mendapat sokongan dan penyertaan tokoh karikatur tanah air yang tidak asing lagi seperti Datuk Lat, Profesor Dr. Muliyadi Mahamood dan Datuk Imuda, sekali gus mengangkat martabat seni karikatur Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.

Penglibatan Kolej Komuniti Jasin dalam program itu mencerminkan komitmen berterusan institusi pengajian tinggi dalam menyokong pembangunan seni kreatif, memperkukuh jaringan kolaborasi industri serta memberi pendedahan bermakna kepada komuniti dan pelajar dalam bidang seni visual dan warisan negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

377
Kongsi :
Previous post ANAK MUDA SUBURKAN ALOR GAJAH DENGAN ALUNAN SELAWAT
Next post MELAKA BIKE WEEK 2026 BERSKALA MEGA – KM