
YB ALONG TAJA 159 ANAK-ANAK ASAHAN, REMBIA KHATAN PERCUMA
ALOR GAJAH 28 Disember – Seramai 159 anak-anak Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan dan Rembia mendapat tajaan khatan percuma menerusi Program Khatan Perdana DUN Asahan dan Rembia 2025.
Program itu merupakan inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan yang juga Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan yang saban tahun menyediakan khidmat kebajikan itu bagi membantu keluarga yang memerlukan.
Menurut beliau, usaha itu bukan sahaja bertujuan meringankan beban keluarga, bahkan pada masa sama meneruskan tradisi khatan beramai-ramai yang sinonim di kampung-kampung bagi mengeratkan silaturahim.
“Seramai 70 anak-anak di DUN Asahan telah dikhatankan pada majlis yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Asahan, manakala Khatan Perdana DUN Rembia melibatkan 89 anak-anak yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Dol Said.
“Acara ini turut dimeriahkan dengan tradisi menyiram dibantu pasukan bomba dan selepas itu anak-anak diarak sebelum dikhatankan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri menzahirkan harapan agar program seumpamanya menjadi permulaan yang baik untuk anak-anak di Asahan dan Rembia menempuh ke alam dewasa dengan penuh keberanian dan jati diri yang kukuh.
“Semoga usaha kebajikan sebegini terus diberkati Allah SWT, mengeratkan silaturahim dalam komuniti serta memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat di Asahan da Rembia.
“Insya-Allah, kita akan terus komited menganjurkan program yang menyantuni rakyat dan memperkukuh kesejahteraan bersama seperti ini pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

