
MAK ESAH KEBAYA MERAH DUTA DIGITAL PROMOSI KUALA LINGGI
KUALA LINGGI 27 Disember – Rakyat Kuala Linggi boleh berbangga apabila memiliki seorang ikon maya yang begitu sinonim di hati masyarakat, iaitu Mak Esah Kebaya Merah.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, watak itu bukan sekadar ikon rasmi media sosial Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, tetapi telah berkembang menjadi simbol budaya dan suara masyarakat.
“Sewajarnya, ia dikekalkan dalam bentuk maya dan animasi, kerana kita mahu Mak Esah Kebaya Merah terus menjadi ‘Duta Digital’ yang mempromosikan keunikan Kuala Linggi ke seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Melaka Bike Week Edisi ke-2 dan Karnival DUN Kuala Linggi Tahun 2025 di Stadium Universiti Islam Melaka (UNIMEL), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut memuji penganjuran Karnival DUN Kuala Linggi yang julung kali diadakan dengan menyifatkannya sebagai platform menyatukan keluarga besar Kuala Linggi dalam suasana harmoni.
Beliau percaya, karnival itu mampu menjadi landasan strategik pemangkin ekonomi desa yang akan membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada usahawan kecil,
pengusaha makanan tradisional, kraftangan serta pengusaha inap desa.
“Pendekatan bersepadu seumpama ini bukan sekadar menjaga ikon budaya, tetapi juga menjadi penanda aras transformasi komuniti luar bandar, selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat berdaya saing, progresif dan mampan,” ujar beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


