Sorting by

×

MELAKA MELANGKAH KE 2026 DENGAN DOA, SELAWAT

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 28 Disember – Penganjuran Majlis Melaka Berselawat sempena Ambang Tahun Baharu 2026 mencerminkan prinsip Kerajaan Negeri untuk melangkah ke hadapan berteraskan doa dan selawat sebagai asas kemajuan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, majlis berkenaan bukan sekadar pengisian sambutan tahun baharu, bahkan menjadi manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan tidak dipisahkan daripada nilai agama, akhlak serta kesejahteraan rohani rakyat.

Katanya, aspirasi Kerajaan Negeri adalah untuk memacu kemajuan ekonomi dan infrastruktur secara seimbang dengan usaha memperkukuh nilai-nilai Islam, keharmonian serta kasih sayang sesama insan.

“Sepanjang tahun 2025, Kerajaan Negeri telah mencapai pelbagai kejayaan dan rezeki dari sudut ekonomi, pembangunan serta pelbagai bidang lain yang akhirnya dikembalikan semula manfaatnya kepada rakyat, Demi Rakyat Untuk Rakyat.

“Saya percaya semua pencapaian ini datangnya daripada doa-doa rakyat Melaka dan menuju tahun baharu, doa dan usaha ini perlu terus mengiringi setiap langkah pentadbiran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Melaka Berselawat sempena Ambang Tahun Baharu 2026 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, malam tadi.

Majlis ilmu itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Turut hadir, Tunku Besar Tampin Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al Qadri; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata majlis tersebut menjadi medan untuk mendidik jiwa, menyatukan ummah serta memperbaharui ikrar sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

“Platform ini menjadi landasan strategik untuk menyuburkan perpaduan ummah, menguatkan cinta kepada Rasulullah SAW serta memperkukuh ikatan kekeluargaan dan komuniti dalam masyarakat.

“Saya berharap rakyat Melaka bukan sekadar melangkah dari satu tahun ke satu tahun, tetapi terus meningkat dari segi nilai, pemikiran dan jati diri demi membina masa depan umat Islam yang lebih harmoni dan sejahtera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

893
Kongsi :
Previous post HUJAN RAHMAT BERKATI MELAKA BERSELAWAT