Sorting by

×

MELAKA ANJUR 3,000 PROGRAM AGAMA SETIAP TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 28 Disember – Lebih 3,000 program ilmu dan keagamaan dianjurkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi memperkukuh pembangunan rohani masyarakat di seluruh negeri ini setiap tahun.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, program tersebut dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi peringkat negeri, daerah, Dewan Undangan Negeri (DUN) serta kampung-kampung.

Katanya, penganjuran program keagamaan itu melibatkan masjid, surau dan pelbagai institusi komuniti sebagai usaha berterusan memupuk keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berteraskan nilai-nilai Islam.

“Kira-kira 3,000 program dilaksanakan setiap tahun, dan program ini merangkumi penganjuran berskala besar dan kecil yang diadakan di masjid, surau serta pelbagai peringkat komuniti.

“Usaha melaksanakan program ilmu ini akan terus diperkasakan menjelang tahun 2026 sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan seimbang negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Melaka Berselawat sempena Ambang Tahun Baharu 2026 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, malam tadi.

Majlis ilmu itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Yang turut hadir, Tunku Besar Tampin Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al Qadri; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Menurut Rahmad, Majlis Melaka Berselawat yang diadakan bersempena ambang tahun baharu 2026 itu dihadiri hampir 5,000 pengunjung meskipun dalam keadaan cuaca hujan.

“Program berkonsepkan selawat ini menjadi wadah untuk rakyat bersama-sama mendoakan kesejahteraan, keamanan serta keharmonian Negeri Melaka dan negara, termasuk institusi keluarga serta masyarakat.

“Walaupun tidak semua dapat hadir kerana cuaca (hujan), kita tetap sama-sama berdoa untuk kesejahteraan dan keamanan negeri Melaka serta negara kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

454
Kongsi :
Previous post MELAKA MELANGKAH KE 2026 DENGAN DOA, SELAWAT
Next post BISTARI DISERU PERKUKUH JARINGAN KERJASAMA RENTAS SEKTOR