Sorting by

×

BISTARI PERKUKUH MOMENTUM SANTUNI RAKYAT MEMERLUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 28 Disember – Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) akan terus mengorak langkah memperkukuh momentum pelaksanaan program kebajikan dalam memastikan lebih ramai golongan memerlukan menerima manfaat secara berterusan dan menyeluruh.

Pengerusi BISTARI, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abdul Aziz berkata, penubuhan BISTARI berteraskan satu niat yang tulus iaitu menjadi wadah kebajikan yang mendekati rakyat dengan penuh empati, keikhlasan dan rasa tanggungjawab.

“Malah, pada tahun ini pelbagai inisiatif kebajikan digerakkan termasuklah program komuniti di bawah program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), ziarah kasih dan aktiviti sokongan sosial yang menyentuh kehidupan masyarakat.

“Usaha BISTARI tidak akan berhenti setakat ini, malah bagi menyahut aspirasi dan hala tuju sepertimana yang digariskan Ketua Menteri, kami akan terus mengorak langkah serta memperkukuh momentum untuk memastikan lebih banyak pencapaian, khususnya dalam menyantuni rakyat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam BISTARI Negeri Melaka yang turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Ab Rahman, di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin bersama isteri Datin Ernie Aidilia Karim, barisan Exco Kerajaan Negeri serta isteri.

Menurut Zuriyah, sepanjang perjalanan lebih empat dekad, BISTARI sentiasa berusaha memainkan peranan sebagai pelengkap kepada usaha kebajikan Kerajaan Negeri dengan memberi tumpuan kepada sentuhan kemanusiaan dan sokongan sosial yang dekat dengan keperluan masyarakat.

“Penganjuran Majlis Makan Malam ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BISTARI untuk mengumpul dana bagi memastikan agenda kebajikan di Melaka dapat dilaksanakan secara konsisten serta lebih berkesan pada tahun hadapan.

“Segala pencapaian dan usaha yang digerakkan ini mustahil untuk saya bina seorang diri tanpa sokongan padu daripada seluruh warga BISTARI yang tanpa lelah menabur bakti dan dedikasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

383
Kongsi :
Previous post MAIM PERUNTUK RM3.15 JUTA UNTUK BANTUAN PERSEKOLAHAN ANAK ASNAF
Next post LEBIH 20,000 PENGUNJUNG GAMATKAN SAMBUTAN JUBLI INTAN RGK KE-60