Sorting by

×

MELAKA SEDIA BANTUAN RAMADAN UNTUK 9,000 ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 29 Disember – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bakal menyalurkan Bantuan Ramadan 2026/1447H kepada kira-kira 9,000 asnaf di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, bantuan itu akan mula disalurkan secara berperingkat pada awal tahun 2026 memandangkan umat Islam bakal mula berpuasa pada Februari.

Jelas beliau, bantuan itu akan disampaikan menerusi siri jelajah di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di mana ia bakal diadakan di masjid-masjid terpilih.

“Selepas bantuan persekolahan, MAIM akan mula menyalurkan bantuan Ramadan kepada semua golongan asnaf yang layak iaitu berjumlah kira-kira 9,000 orang.

“Ini merupakan antara skim bantuan tahunan yang disediakan MAIM bagi meringankan beban keluarga asnaf dalam menyambut kedatangan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Melaka Berselawat sempena Ambang Tahun Baharu 2026 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, pada Sabtu.

Majlis ilmu itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Yang turut hadir, Tunku Besar Tampin, Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al Qadri; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad serta kenamaan lain.

Bantuan Persediaan Ramadan MAIM itu menyaksikan bagi kategori asnaf fakir, setiap ketua keluarga akan menerima RM400, manakala isi rumah fakir akan menerima tambahan RM100 setiap seorang.

Bagi kategori asnaf miskin pula, setiap ketua isi rumah akan menerima sebanyak RM300, di mana jumlah itu meningkat berbanding RM250 sebelum ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

420
Kongsi :
Previous post YB ALONG TAJA 159 ANAK-ANAK ASAHAN, REMBIA KHATAN PERCUMA
Next post MPJ PASANG 40 LAMPU SOLAR, TAMBAH BAIK PENCAHAYAAN DI JASIN