
LEBIH 20,000 PENGUNJUNG GAMATKAN SAMBUTAN JUBLI INTAN RGK KE-60
KLEBANG 28 Disember – Lebih 20,000 pengunjung membanjiri perkarangan Encore Melaka sejak hari pertama penganjuran Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas (RGK) Ke-60 Fasa 2 Tahun 2025 yang bermula semalam.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata penganjuran itu turut mencipta sejarah apabila buat julung kali diadakan di luar kawasan kem dan diraikan di bumi Melaka.
Katanya, penganjuran yang mengangkat tema ‘Jubli Intan Gerak Khas: Warisan Keberanian, Legasi Kegagahan’ itu bukan sekadar hari keluarga biasa namun ia menjadi platform penting menghargai institusi keluarga sebagai tunjang kejayaan pasukan elit Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Lebih istimewa lagi sambutan ini turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian daripada aktiviti santai keluarga, pameran pasukan elit, demonstrasi ketangkasan dan kemahiran tempur khas RGK hinggalah pameran 28 aset Tentera Darat Malaysia yang dibawa khas untuk orang ramai.
“Orang awam turut diberi peluang menyertai sembilan acara interaktif yang membolehkan mereka mendekati dan merasai sendiri pengalaman bersama pasukan keselamatan negara.
“Saya sendiri melihat beberapa hantaran di laman sosial media menyaksikan keterujaan orang ramai ada yang sanggup hadir seawal pagi untuk tidak melepaskan peluang merasai sendiri pengalaman menaiki bot tentera serta menyaksikan demonstrasi menarik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Hari Keluarga Gabungan Sempena Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas Ke-60 Fasa 2 Tahun 2025 di Encore Melaka di sini hari ini.
Pada majlis sama Ketua Menteri turut diiringi isteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abdul Aziz yang juga Pengerusi Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI).
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan , Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK) Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf turut menzahirkan penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan wira-wira ATM khususnya RGK.
Katanya, Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk terus menyokong usaha memperkukuh kebajikan anggota dan keluarga pasukan yang menjadi benteng pertahanan negara.
“Semoga melalui medium dan pertemuan ini menjadi mercu tanda permulaan kepada kerjasama strategik yang lebih erat antara Kerajaan Negeri dan RGK dalam memperteguh keselamatan, kecemerlangan dan kegemilangan negeri Melaka,” katanya.
Ab Rauf turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama menyaksikan acara kemuncak sambutan Jubli Intan RGK sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 serta peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 pada 31 Disember ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


