
SAMBUTAN JUBLI INTAN KE-60: GERAK KHAS ‘PULANG’ KE MELAKA – AB RAUF
KLEBANG 28 Disember – Selepas enam dekad menjadi benteng pertahanan negara, Rejiman Gerak Khas (RGK) kembali ‘pulang’ ke Melaka bagi meraikan sambutan Jubli Intan ke-60 pasukan itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata langkah itu mengangkat nilai sejarah dan memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap pasukan elit yang menjadi benteng pertahanan negara.
Katanya, sejarah RGK atau komando yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein bermula di Sungai Udang dan kini selepas 60 tahun kembali ke negeri ini sebagai pentas bersejarah untuk berkongsi pelbagai pengisian yang jarang dipertontonkan kepada umum.
“Hari Keluarga Gabungan dianjurkan menghimpunkan lebih 2,000 ahli keluarga besar RGK yang mana ulang tahun ini bukan sekadar angka tetapi simbol keutuhan pasukan dan semangat juang yang menjadi nadi kekuatan negara.
“Sepanjang sambutan ini berlangsung, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran aset tentera, demonstrasi pasukan elit dan pelbagai lagi aksi menarik yang ditampilkan buat tontonan masyarakat.
“Lebih istimewa lagi veteran-veteran komando dari seluruh negara turut dijemput bagi mengimbau kembali nostalgia perkhidmatan mereka bersama pasukan elit RGK ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Gabungan sempena Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas (RGK) Ke-60 Fasa 2 Tahun 2025 di Encore Melaka di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan , Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK) Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada RGK kerana memilih Melaka sebagai lokasi sambutan, selain menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran acara seumpama itu yang selari dengan usaha memperkasa sektor pelancongan negeri.
“Penganjuran ini juga bertepatan dengan pelancaran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Ambang Tahun Baharu 2026 pada 31 Disember ini.
“Sambutan Hari Keluarga Gabungan ini turut mencatat kehadiran memberangsangkan apabila lebih 20,000 pengunjung hadir memeriahkan pelbagai program sekali gus membuktikan sokongan padu rakyat terhadap pasukan keselamatan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


