
USAHA TANGANI BANJIR DI BEMBAN TUNJUK HASIL POSITIF
BEMBAN 31 Disember – Penduduk Kampung Lubok Kasau akhirnya dapat menarik nafas lega apabila projek mitigasi banjir yang dilaksanakan berjaya mengatasi masalah banjir di kawasan itu.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Mohd Raziff Yakop berkata, projek itu sebelum ini diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bemban pada Julai.
“Projek ini antaranya merangkumi kerja-kerja pengaliran sungai, penstabilan tebing serta meninggikan ban sungai sepanjang kira-kira dua kilometer.
“Projek ini membabitkan nilai RM700,000 dan sudah siap pada awal Disember lalu malah dikatakan dapat menangani masalah banjir di kawasan itu.
“Ini dapat dilihat apabila cuaca hujan lebat berterusan baru-baru ini, apabila 45 buah rumah di kawasan itu yang sebelum ini sering dilanda banjir sudah lagi tidak dinaiki air,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui merasmikan Taska Astana Bonda Cawangan Bandar Botani Parkland, Jasin.

Menurut Mohd Raziff, pelan tindakan mengatasi banjir turut dilaksanakan bagi mengatasi banjir di Kampung Asam Kumbang yang juga antara lokasi sering berdepan isu banjir.
“Langkah-langkah pelaksanaan sama ada pelan jangka pendek dan panjang yang telah dilaksanakan secara tidak langsung dilihat dapat mengatasi isu banjir berulang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


