Sorting by

×

ORKESTRA WARISAN SENI MELAKA DIPERKENALKAN

Masa Membaca:56 Saat

KLEBANG 31 Disember – Orkestra Warisan Seni Melaka diperkenalkan secara rasmi di Encore Klebang bersempena Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas, malam ini.

Ia sekali gus menjadikan Melaka antara negeri yang memiliki orkestra sendiri, seterusnya bakal mengangkat cabang seni tempatan ke satu tahap lebih tinggi.

Pada masa sama, ia juga menonjolkan keunikan sektor pelancongan Melaka yang mengiktiraf pelbagai cabang seni, budaya dan warisan, selain pemerkasaan produk-produk pelancongan.

Terdahulu, orkestra berkenaan membuka tirai sambutan dengan persembahan untuk rakyat menerusi medley beberapa lagu popular seperti Seni Berdamai Dengan Takdir, Kita Bukan Kita, Mangu, Rahsia Tuhan dan Menjaga Jodoh Orang Lain.

Ia turut mengiringi persembahan artis popular tanah air seperti Azlan & The Typewriter yang mendendangkan lagu Jangan Khianati Aku, selain penyanyi irama tradisional Fauziah Gambus.

Difahamkan, Orkestra Warisan Seni Melaka menghimpunkan pemuzik-pemuzik anak jati Melaka yang bertujuan menonjolkan bakat tempatan dan tradisi muzik bumi bersejarah.

Orkestra itu juga bakal mewarnai pelbagai program pelancongan yang dirangka Kerajaan Negeri sepanjang 2026 sempena Tahun Melawat Melaka 2.0.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

432
Kongsi :
Previous post UPTOWN PAHLAWAN WALK BEROPERASI 5 HARI SEMPENA TAHUN BAHARU 2026
Next post TARIAN ZAPIN HIMPUN MASYARAKAT MAJMUK