
SITI NURHALIZA, FAN BINGBING TERIMA ANUGERAH IKON MELAKA
KLEBANG 31 Disember – Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima Anugerah Ikon Seni dan Budaya Melaka di atas sumbangan cemerlang dan konsisten beliau dalam memartabatkan seni suara serta budaya Melayu, yang turut menyokong pemerkasaan identiti budaya Melaka di peringkat nasional dan antarabangsa.
Penganugerahan itu diberikan pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, di sini, malam ini.
Selaku penerima anugerah berkenaan, penyanyi nombor satu negara itu menerima Sijil Anugerah Kerajaan Negeri Melaka, trofi dan sejambak bunga.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyampaikan Anugerah Ikon Diplomasi Budaya Antarabangsa yang diberikan kepada Duta Setiakawan Pelancongan Negeri Melaka Datuk Fan Bingbing.
Ia diberikan sebagai pengiktirafan terhadap peranan strategik beliau dalam memperkukuh diplomasi budaya serta meningkatkan keterlihatan dan imej Melaka di peringkat antarabangsa melalui pengaruh seni, budaya dan jaringan global.
Turut menerima anugerah adalah komposer lagu Senandung Anak Melaka Mohd Fauzi Mohamad yang menerima pengiktirafan Tokoh Pemerkasaan Seni Tradisional Melaka.
Pengiktirafan itu diberikan terhadap sumbangan luar biasa komposer itu dalam memartabatkan seni muzik tradisional Melaka secara konsisten dan berimpak tinggi, selain telah menghasilkan lebih 20 buah karya muzik berteraskan identiti, sejarah dan jati diri negeri yang dekat di hati masyarakat.
Selaku penerima anugerah tersebut, beliau menerima wang tunat RM80,000 serta Sijil Anugerah Kerajaan Negeri Melaka.
Terdahulu, anugerah tersebut disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Turut bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


