Sorting by

×

TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0 BAKAL CETUS GELOMBANG BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KLEBANG 1 Januari – Tahun Melawat Melaka 2.0 yang diluncurkan malam tadi bakal mencetuskan satu gelombang baharu bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, seiring peluncuran itu, Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran 19 juta pelancong pada tahun 2026.

Menurut beliau, bagi merealisasikan sasaran tersebut, lebih 220 acara pelancongan telah yang disusun rapi sepanjang tahun.

“Maka, azam tahun baharu 2026 ini, saya mengajak seluruh rakyat Melaka serta
pengunjung untuk terus melangkah kehadapan memacu momentum ke tahap yang lebih tinggi walau apa jua perkara yang ingin dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, di sini, malam ini.

Majlis penuh warna-warni itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak, khususnya para penjawat awam yang telah bersama-sama menjayakan setiap
kejayaan dengan penuh dedikasi, komitmen dan semangat kebersamaan.

Tidak ketinggalan, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak swasta serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa berdiri teguh menyokong aspirasi dan agenda pembangunan Kerajaan Negeri.

Paling utama, ujar beliau, setulus penghargaan ditujukan kepada seluruh rakyat Melaka yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pentadbiran
negeri ini.

“Berpaksikan prinsip ‘ Melaka Sayang Rakyat, Demi Rakyat Untuk Rakyat’, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat dengan memberi perhatian khusus kepada anak-anak muda serta golongan B40 untuk turut menikmati pembangunan dan kemajuan negeri,” kata beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

274
Kongsi :
Previous post 2025 MELAKA TIDAK PERNAH SUNYI, GAMIT LEBIH 15 JUTA PELANCONG
Next post MELAKA TERAJUI PELANCONGAN DIGITAL DENGAN SMART TOURISM AI, PASPORT PELANCONGAN