
MELAKA TERAJUI PELANCONGAN DIGITAL DENGAN SMART TOURISM AI, PASPORT PELANCONGAN
KLEBANG 1 Januari – Melaka terus terkehadapan dalam sektor pelancongan dengan memperkukuh elemen pelancongan digital, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Menurut beliau, ia menerusi peluncuran aplikasi Smart Tourism Melaka AI dan Pasport Pelancongan Visit Melaka 2.0.
Jelas Ab Rauf, pengenalan dua inisiatif digital itu adalah sejajar dengan aspirasi Melaka sebagai negeri berasaskan kecerdasan teknologi.
“Kita mahu pelancong datang bukan hanya terkesima menikmati keindahan Melaka, tetapi juga dengan rasa kagum dengan kredibiliti dan kecanggihan teknologi pelancongan di Melaka,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, di sini, malam ini.
Majlis penuh warna-warni itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.
Yang turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, hakikatnya, peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 bukan sekadar sebuah kempen, tetapi juga menjadi pemangkin ekonomi rakyat.
Ujar beliau, ia bakal membuka peluang, menghidupkan perniagaan dan memastikan hasil pembangunan sampai ke akar umbi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


