Sorting by

×

PENGUNJUNG KAGUM SUASANA MALAM DI BANDA HILIR

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDA HILIR 5 Januari – Rata-rata pengunjung yang hadir memeriahkan Melaka Bila Larut Malam 3.0 menyifatkan penganjuran program itu sangat berbaloi dan memberikan pengalaman berbeza.

Seorang penari Kaisah Latiifah Omar, 17, dari Bukit Lintang berkata, penglibatannya buat kali kedua dalam persembahan tarian zapin memberi pengalaman bermakna apabila dapat menyaksikan sendiri kemeriahan suasana di Banda Hilir.

“Saya memang suka pakai busana tradisional kerana selain kelihatan cantik, pengunjung juga boleh menikmati kemasukan percuma menerusi program ini.

“Saya akan pastikan setiap bulan mengenakan busana tradisional yang berbeza untuk program ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu pelancong dari Kuching, Sarawak Nur Balqis Jafar, 21, berkata produk pelancongan di Melaka sememangnya menarik dengan pelbagai lokasi bersejarah untuk dikunjungi.

“Ini kali ketiga saya datang ke Melaka dan kali ini lebih lama kerana urusan kerja. Usaha Kerajaan Negeri Melaka memperkenalkan bayaran tiket RM10 sempena Melaka Bila Larut Malam sangat bagus kerana mampu dibeli oleh orang ramai.

“Suasana malam di Melaka, khususnya di Banda Hilir, sangat meriah. Saya datang bersama rakan-rakan dan bercadang untuk menaiki Menara Taming Sari.

“Dengan harga tiket RM10, ia sangat berbaloi memandangkan kos sara hidup sekarang semakin meningkat,” katanya.

Bagi Mohd Hani Arshdanish Hanuar, 20, dari Sabah pengalaman pertama berkunjung ke Melaka memberikan impresi yang sangat positif.

“Saya datang ke Melaka atas urusan kerja, tetapi suasana malam di sini memang berbeza. Banyak cahaya lampu berwarna-warni dan terasa seperti berada di luar negara.

“Ditambah pula kemasukan ke produk pelancongan Melaka dengan harga RM10, saya rasa ia sangat berbaloi jika datang ke Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

629
Kongsi :
Previous post DUA MAUT KERETA DIREMPUH PACUAN EMPAT RODA HILANG KAWALAN LANGGAR KERBAU
Next post SASARAN 650,000 PENGUNJUNG ‘NAIK MENARA TAMING SARI’ SEPANJANG 2026