
RAKYAT MELAKA NIKMATI 100 JUALAN RAHMAH SETIAP BULAN
AYER KEROH 13 Januari – Kerajaan Negeri menyasarkan lebih 100 Jualan Rahmah MADANI dianjurkan setiap bulan pada tahun 2026 bagi memastikan rakyat mendapat barangan keperluan dengan harga mampu milik.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soo Chin berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Japerun telah mengenal pasti lokasi bagi memastikan setiap DUN mempunyai sekurang-kurangnya satu Jualan Rahmah setiap minggu.
“KPDN akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan komuniti untuk mengadakan program Jualan Rahmah MADANI serentak sama ada pada hujung minggu atau hari bekerja.
“Program ini bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup keluarga, malah memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk memasarkan produk mereka dengan lebih luas.
“Jenis barang yang dijual biasanya meliputi barang asas atau keperluan harian, namun sesetengah peniaga turut menawarkan barangan lain dengan harga tetap yang berpatutan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dalam perkembangan lain, Allex memaklumkan, KPDN akan terus memantau harga barangan di seluruh negeri bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan khususnya sepanjang Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Pengguna digalakkan melaporkan sebarang salah laku peniaga dan mengikuti ‘Facebook’ rasmi KPDN Melaka untuk mendapatkan maklumat terkini serta laporan pemantauan harga barangan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


