Sorting by

×

MBMB MAHU 2026 JADI TAHUN LEBIH CEMERLANG

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 14 Januari – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) komited menjadikan 2026 sebagai tahun untuk melakar lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan baik di peringkat negeri, nasional mahupun antarabangsa.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, sasaran itu mampu direalisasikan dengan keazaman, komitmen dan semangat kerja berpasukan warga MBMB.

Menurut beliau, hasrat itu juga selari dengan fokus Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang memberi tumpuan kepada agenda pemerkasaan ekonomi melalui sektor pelancongan, perbandaran dan pembangunan setempat.

“Insya-Allah, seluruh warga MBMB sedaya upaya akan memberi perkhidmatan yang efisien dan terbaik kepada rakyat selaras dengan visi dan misi yang ditetapkan.

“Dengan usaha yang lebih gigih, disiplin dan jati diri yang tinggi, serta berpegang kepada nilai-nilai hidup yang murni, kita akan dapat mencapai kejayaan yang lebih cemerlang untuk tahun 2026 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MBMB Bil. 1 tahun 2026 di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBMB Muhammad Firdaus Shariff; Ketua Ahli Majlis MBMB Clr. Mustafa Mohamed Baboo serta ketua-ketua unit dan jabatan MBMB.

Terdahulu, turut diadakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah membabitkan warga MBMB bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Melaka yang diketuai Shadan, sekali gus menzahirkan komitmen tinggi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memerangi amalan rasuah dalam organisasi.

Shadan turut berpesan dan mengingatkan warga MBMB agar sentiasa meletakkan integriti sebagai keutamaan dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

“Integriti dalam sesebuah organisasi merujuk kepada amalan nilai moral, etika dan kejujuran yang tinggi dalam setiap tindakan, keputusan dan tadbir urus organisasi.

“Semua anggota juga perlulah sentiasa mengamalkan pendekatan tidak menerima sebarang suapan dan rasuah yang diberikan oleh orang awam mahupun pihak berkepentingan sepertimana yang termaktub dalam Ikrar Bebar Rasuah (IBR) yang dilafazkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

534
Kongsi :
Previous post BAU BUSUK BONGKAR PENEMUAN MAYAT DALAM KERETA DI MITC
Next post LESTARI BAHASA JAWA DALAM KALANGAN MURID SEKOLAH