Sorting by

×

JAIM SERBU HOTEL ‘MESRA GAY’, PREMIS DITUTUP UNTUK SIASATAN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KESIDANG 13 Januari – Sebuah hotel yang mengiklankan fasilitinya sebagai ‘gay friendly’, di sini, didapati telah dikosongkan selepas hantaran mengenainya tular di media sosial.

Menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), hari ini, hotel berkenaan didapati tidak berpenghuni, selain pemiliknya juga tidak berada di lokasi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, pemeriksaan telah dijalankan di kesemua 37 buah bilik tersebut, namun tiada kesalahan syariah dapat dibuktikan di bawah peruntukan Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Bagaimanapun beliau berkata, pemeriksaan di salah sebuah bilik yang tidak berkunci mendapati selimut, bantal dan katil dalam keadaan berselerak seperti baru sahaja digunakan.

“Terdapat juga dua helai tuala pada penyangkut dan dua kotak kondom di dalam tong sampah bilik tersebut. Bagaimanapun, pelakunya tidak dapat dikenal pasti kerana premis telah kosong ketika pelaksanaan operasi.

“Operasi penguatkuasaan ini dijalankan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, melibatkan Seksyen 56 (Liwat), Seksyen 57 (Percubaan Liwat) dan Seksyen 58 (Perhubungan Jenis Luar Tabii) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga 36 bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Rahmad, susulan itu, hotel berkenaan telah diarah tutup selama sehari, selain lesennya turut diambil oleh MPHTJ bagi membantu siasatan dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pemiliknya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan perbuatan songsang termasuk lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah bertentangan dengan hukum syarak, norma masyarakat serta menyalahi undang-undang sedia ada, selain menasihatkan umat Islam agar menjauhi amalan tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

906
Kongsi :
Previous post MAYAT LELAKI DITEMUKAN MEREPUT DALAM KERETA DI PARKIR MITC
Next post MAIM, YAPEIM TEROKA KERJASAMA DALAM PELABURAN EMAS