
DEWAN TERBUKA RUMAH AWAM PULAU SEBANG 3 SIAP FEBRUARI DEPAN
GADEK 14 Januari – Rumah Awam Pulau Sebang 3 bakal menerima sebuah dewan terbuka dan gelanggang serbaguna yang dijangka siap pada awal Februari depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam berkata, fasiliti itu bakal memberi manfaat kepada hampir 1,000 penduduk di kawasan taman perumahan terbabit.
Katanya, kedua-dua kemudahan itu merupakan antara janjinya selepas ia dizahirkan oleh penduduk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek pada tahun 2021 yang lalu.
“Dewan dan gelanggang baharu ini boleh menempatkan sehingga 800 orang dalam satu-satu masa dan pembinaan ini telah diluluskan, di mana projek pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2026.
“Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) atas kelulusan pembinaan fasiliti ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shanmugam yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri berharap agar kemudahan fasiliti itu akan memberi manfaat kepada penduduk DUN Gadek khususnya penduduk di Rumah Awam Pulau Sebang 3.
“Saya berharap agar kemudahan fasiliti ini memberi manfaat kepada masyarakat sekitar dan boleh dimanfaatkan sebaiknya untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan, majlis-majlis komuniti di samping mengeratkan hubungan silaturahim,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


