
JAPERUN TABOH NANING BANTU PELAJAR KURANG MAMPU BAYAR YURAN SEKOLAH
TABOH NANING 14 Januari – Demi memastikan tiada pelajar tercicir persekolahan akibat kekangan kewangan Japerun Taboh Naning sedang mengenal pasti pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang berdepan kesukaran membayar yuran persekolahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, maklumat awal sedang dikumpulkan dengan kerjasama sekolah dan agensi berkaitan.
Katanya, perkara itu perlu dilaksanakan sebelum bantuan dapat disalurkan secara bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Insya-Allah, sebaik data lengkap diperoleh, bantuan yuran akan disalurkan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.
“Seperti tahun lalu, seramai lima pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam kawasan DUN Taboh Naning telah berjaya dibantu.
“Ia membabitkan yuran persekolahan yang tertunggak dari Januari hingga November 2025 kerana kekangan kewangan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, usaha itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan sekali gus memastikan pendidikan anak-anak terus diperkasakan.
“Inisiatif itu selaras dengan komitmen DUN Taboh Naning dalam menjaga kebajikan rakyat serta memastikan akses pendidikan terus terpelihara di kawasan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


