
KUTIPAN HASIL MELAKA MENINGKAT RM548.73 JUTA
AYER KEROH 19 Januari – Kutipan hasil Melaka terus meningkat saban tahun, sekali gus menjadi bukti kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pada tahun lalu, kutipan hasil negeri menunjukkan peningkatan kepada RM548.73 juta, sekali gus merekodkan 110.18 peratus berbanding sasaran ditetapkan.
Tidak hanya itu, beliau berkata, nilai pelaburan Melaka turut menunjukkan angka memberangsangkan dengan memperoleh RM3.6 bilion setakat September 2025.
“Jelasnya, menjelang tahun 2030… Melaka menyasarkan nilai pelaburan RM10 bilion, termasuk peningkatan pelabur asing, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi tumpuan pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Ketua Menteri bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata, kutipan zakat di negeri ini turut menunjukkan peningkatan apabila berjaya merekodkan RM145.1 juta.
“Dari sudut agihan pula, sebanyak RM154.8 juta telah disalurkan kepada penerima bantuan yang layak,” ujar beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


