
PEJABAT KETUA MENTERI ‘CARI KAWAN’ DI PADANG BOLA SEPAK
KOTA LAKSAMANA 28 Januari – Semangat kesukanan tinggi jelas berjaya dipamerkan dalam perlawanan persahabatan bola sepak membabitkan Kelab Bola Sepak Pejabat Ketua Menteri dan Kelab Bola Sepak Pemuda Bukit Katil, malam tadi.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Hang Tuah itu berakhir dengan keputusan 3-2 berpihak kepada Kelab Bola Sepak Pemuda Bukit Katil.
Pengurus Pasukan Bola Sepak Pejabat Ketua Menteri Melaka Idris Ab Kadir berkata, perlawanan itu bukanlah untuk menjejar kemenangan, sebaliknya ia menjadi platform dalam mengeratkan hubungan di antara agensi kerajaan dan kelab bola sepak tempatan.
“Menang atau kalah adalah adat dalam perlawanan, yang penting semangat kesukanan, pengalaman yang dikutip dan ukhuwah yang terjalin antara pemain.
“Bagi kami, pemenang sebenar adalah semangat kesukanan dipamer oleh semua yang terlibat,” katanya.
Menurutnya lagi, perlawanan itu juga menjadi medan berharga untuk semua pihak memperkukuh kerjasama berpasukan, selain turut menjadi jambatan perpaduan yang menyatukan pelbagai latar belakang.
“Semangat persahabatan yang ditunjukkan di atas padang jelas mencerminkan nilai positif yang ingin diterapkan melalui penganjuran program sebegini.
“Diharapkan perlawanan persahabatan seperti ini akan terus dianjurkan pada masa akan datang sebagai platform memperkukuh semangat kesukanan, memupuk ukhuwah dan menyemarakkan lagi budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman di atas sokongan dan bantuan dalam menyelaras program tersebut, sekali gus menyokong pembangunan sukan di Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


