Sorting by

×

PERKASA SABK, MARTABAT INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

LENDU 28 Januari – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan sebanyak 234 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara dengan pengiktirafan baharu membabitkan Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata, ia mencerminkan kepekaan dan keprihatinan kerajaan dalam memartabatkan institusi pendidikan Islam agar tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua.

“Kita mahu mengangkat martabat SABK sebagai institusi pendidikan berkualiti tinggi yang memiliki kemudahan mencukupi serta tenaga pengajar terlatih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka sebagai SABK di sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka Prof. Datuk Dr. Mizan Hitam serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) atau Sekolah Agama Negeri (SAN) sebagai SABK perlu melalui proses terperinci melibatkan peruntukan undang-undang serta dasar sedia ada KPM.

“Proses ini ada kalanya berjalan pantas dan ada yang mengambil masa lebih lama disebabkan isu berbangkit seperti status tanah, kesiapsiagaan warga sekolah dan beberapa faktor lain yang memerlukan penelitian rapi.

“Setiap permohonan SABK perlu melepasi saringan ketat di peringkat kementerian dan bukan sekadar proses ‘cap dan lulus’.

“Semua permohonan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal sebelum diangkat ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pendaftaran SABK untuk kelulusan akhir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1776
Kongsi :
Previous post PEJABAT KETUA MENTERI ‘CARI KAWAN’ DI PADANG BOLA SEPAK
Next post ZOO MELAKA GAMIT LEBIH 300,000 PENGUNJUNG TAHUN LALU