Sorting by

×

BUGGY AMBULANS, SKUTER ELEKTRIK ‘NADI’ BANTU PARAKOM KENDALI KES KECEMASAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 31 Januari – Paramedik Komuniti (PARAKOM) terus memperkukuh ketangkasan respon kecemasan menerusi penambahan aset operasi termasuk buggy ambulans, unit berbasikal dan skuter elektrik sebagai sistem sokongan di kawasan tumpuan pelancong.

Pegawai Operasi PARAKOM Saiful Nizam Sairi berkata, sehingga Januari 2026, PARAKOM memiliki keseluruhan 13 aset merangkumi sebuah ambulans ‘buggy’; dua unit elektronik skuter medikal dan 10 unit basikal respon.

Selain itu, ujarnya, turut disediakan dua Stesen Pertolongan Cemas iaitu di Banda Hilir dan Kompleks Air Panas Gadek.

“Penggunaan ‘buggy ambulans’ membolehkan pasukan bertindak pantas di kawasan Zon Bebas Kenderaan, Banda Hilir yang tidak boleh diakses kenderaan biasa pada setiap hari Jumaat hingga Ahad.

“Buggy ambulans ini berfungsi sebagai pengangkutan awal bagi membawa pesakit ke Stesen Pertolongan Cemas atau ke lokasi serahan kepada ambulans hospital.

“Manakala 10 unit basikal dan dua unit skuter akan digunakan sukarelawan PARAKOM bagi mempercepat rondaan serta liputan kecemasan khususnya di kawasan sesak dan laluan sempit di Banda Hilir dan di Kompleks Air Panas Gadek,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Saiful Nizam memaklumkan, sejak diperkenalkan, PARAKOM telah mengendalikan pelbagai kes kecemasan antaranya pengunjung pengsan, serangan jantung, sawan serta kecederaan melibatkan pengunjung dan pelancong.

“Keberkesanan PARAKOM ini antara faktor adalah dengan adanya aset-aset yang dilihat membantu mengurangkan masa untuk operasi kecemasan.

“Ketangkasan pasukan PARAKOM ini turut mendapat pujian penganjur pelbagai acara serta pelancong yang menyifatkan sistem kecemasan di Melaka khususnya di lokasi pelancongan sebagai pantas dan efisien.

“PARAKOM akan terus menambah baik aset sedia ada selaras keperluan operasi serta perancangan memperluas Stesen Pertolongan Cemas ke beberapa lokasi pelancongan lain di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post BAP: PELUANG PMKS MELAKA KEMBANG PERNIAGAAN DENGAN PEMBIAYAAN SEHINGGA RM400,000
Next post ‘SATU MINGGU, SATU ARTIFAK’ INISIATIF PERZIM TARIK MINAT RAKYAT DALAMI SEJARAH MELAKA