Sorting by

×

MELAKA REKOD 20 KEBAKARAN TERBUKA DALAM SEHARI

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 31 Januari – Sebanyak 20 kebakaran terbuka telah direkodkan di seluruh Melaka dalam tempoh sehari, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, jumlah itu menunjukkan trend peningkatan, di mana ia membabitkan kebakaran di kawasan awam dan perumahan.

Menurut beliau, antara faktor peningkatan kes di negeri ini adalah disebabkan cuaca panas dan kering, selain pembakaran terbuka tidak terkawal dan aktiviti manusia.

“Kebanyakan kebakaran terbuka yang berlaku adalah membabitkan kebakaran belukar, lalang dan sampah yang berlaku di kawasan awam dan taman perumahan di kesemua tiga daerah dalam Negeri Melaka.

“Bagaimanapun, kesemua insiden berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya oleh pasukan bomba tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, antara cabaran utama pihak bomba dalam kes-kes kebakaran terbuka adalah tempoh operasi yang panjang, khususnya membabitkan kawasan terbuka berskala besar melebihi 15 ekar.

“Untuk kawasan yang luas, tempoh masa diambil bagi memadamkan kebakaran boleh mencecah sehingga lebih enam jam, di mana ia juga melibatkan pemantauan, pemadaman menyeluruh dan kawalan titik panas (hotspot).

“Namun, bagi kawasan berskala kecil, operasi pemadaman kebiasaannya hanya mengambil masa dalam tempoh kurang 30 minit,” tambahnya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka sepanjang tempoh cuaca panas dan kering ketika ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

654
Kongsi :
Previous post MAIM PASTIKAN MUALAF MELAKA TIDAK SENDIRIAN