Sorting by

×

MPAG DIGITAL, LAMBANG TRANSFORMASI ALOR GAJAH

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

REMBIA 3 Februari – Usaha Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) memperkenalkan MPAG Digital diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) apabila lapan inisiatif yang terangkum di bawahnya disenaraikan sebagai antara inisiatif H.E.M.A.T.

H.E.M.A.T. merupakan aspirasi yang diketengahkan Pengarah Perkhidmatan Awam yang membawa maksud Hijrah Tata Kelola; Empati Rakyat; Minda Pekin; Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran.

Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, kesemua inisiatif yang diperkenalkan di bawah MPAG Digital bermatlamat untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan transparensi pengurusan perkhidmatan.

Jelas beliau, lapan inisiatif itu adalah Sistem Aduan Awam Bersepadu (SAAB); Sistem Sewaan Online MPAG; Sistem eSyarikat; Sistem eVoting; Permohonan Perjawatan Online MPAG; VISIONGUARD; Permohonan Lesen Perniagaan Secara Atas Talian Dengan Sistem LIMAS serta Sistem eBangunan.

“Kesemua inisiatif yang dilaksanakan ini memberi impak yang sangat signifikan kepada warga Alor Gajah khususnya dari aspek kemudahan akses perkhidmatan, kecekapan penyampaian serta ketelusan tadbir urus.

“Melalui pendigitalan perkhidmatan seperti Sistem Aduan Awam Bersepadu, Sistem Sewaan Online MPAG, Sistem LIMAS dan lain-lain lagi, ia membolehkan urusan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, mudah dan menjimatkan masa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hasil inisiatif itu, MPAG menerima sijil penghargaan daripada JPA yang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad pada Majlis Amanat YB Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Tahun Baharu 2025 bertemakan Melaksanakan Amanah, Memacu Reformasi di Auditorium Seri Negeri, di sini.

Menurut TPr. Saifuddin, penghargaan yang diberikan JPA, selain sokongan padu Kerajaan Negeri menjadi pengiktirafan cukup bermakna buat MPAG kerana ia mencerminkan keberkesanan dasar, perancangan serta pelaksanaan transformasi digital yang dijalankan.

Tambah beliau, pengiktirafan itu bukan sahaja mengiktiraf sistem yang dibangunkan malah turut menjadi bukti komitmen dan kesungguhan warga kerja MPAG dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, telus dan berorientasikan rakyat.

“Ia juga menjadi penanda aras bahawa MPAG berada di landasan yang tepat selaras dengan agenda pendigitalan sektor awam di peringkat negeri dan persekutuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap pengiktirafan yang diterima dapat menjadi pembakar semangat dan motivasi kepada MPAG untuk terus memperkasa inovasi, menambah baik sistem sedia ada serta meneroka pendekatan baharu dalam penyampaian perkhidmatan.

“Keutamaan akan terus diberikan kepada keperluan rakyat dengan memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan bersifat mesra pengguna, berimpak tinggi dan selari dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post TUN DR. MOHD ALI BERSAMA 500 JEMAAH SUBURKAN MALAM NISFU SYAABAN MELAKA
Next post DISKAUN SEHINGGA 80 PERATUS MENANTI PENGUNJUNG ‘HEBAT’ SIRI 1/2026 ESOK